Jun 17, 2009

BERANI HADAPI CABARAN GLOBALISASI

PERGERAKAN PEMUDA SIPITANG SELANGKAH MAJU KEHADAPAN "Berfikir lalu Berrehat selepas itu barulah Bertindak."
Setiap langkah yang kita lakukan hendaklah berasaskan lunas undang-undang dan perlembagaan Negara dan juga yang boleh diterima oleh Lojik Akal dan tidak lari dari Dalil Nas Alquran dan Al.Hadis.
: ASAS HADAPI CABARAN MASA KINI Menjengahnya tahun baru Islam 1428 Hijrah, ianya sentiasa mengingatkan kita peristiwa penting dan bersejarah dalam memperjuangkan agama Islam. Peristiwa itu bukan sahaja kerana bermulanya takwim Hijrah, tetapi ianya merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah, sesungguhnya ia mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsep tersendiri
Allah s.w.t telah memerintahkan Rasulullah s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana berlaku pada ketika itu perjuangan baginda dilanda tamparan cabaran dan himpitan yang dahsyat dan hebat dari penduduk musyrik Quraisy di Mekah.
Baginda tidak memilih untuk berdoa meminta kelapangan, kemudahan dan kesenangan yang sudah tentu dikabulkan Allah s.w.t, tetapi sebaliknya, baginda terus-menerus menempuh laluan perjuangan dengan sukar, berbahaya, dan berisiko tinggi dalam berdepan dengan pemburuan musuh, hanya untuk mencapai keadaan yang lebih baik dan penuh pengajaran serta pengiktibaran. Melalui perintah Hijrah inilah juga , Rasulullah s.a.w berusaha merancang dan bertindak menyusun strategi dengan penuh berhati-hati.
Dilihat di zaman era globalisasi tajaan kapitalis ini, penghijrahan seumpama hijrah Rasulullah s.a.w dan sahabat tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas Baginda, namun begitu, konsep penghijrahan kalangan umat Islam tetap diteruskan, ertinya : tiada lagi Hijrah kecuali Hijrah dari kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 41-42 :t
Maksudnya : Dan orang-orang Yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya Yang baik; dan Sesungguhnya pahala (amal mereka Yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. Mereka itu ialah) orang-orang Yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.
Benarlah firman Allah ini, jika diteliti, direnungi dan dihayati, konsep Hijrah di era ini adalah ingin mengajak umat Islam kepada perkara yang baik, bermanfaat dan ke arah mempertingkatkan kepelbagaian dalam aspek kemajuan hidup. Justeru konsep Hijrah ini akan mampu meneguhkan dan memantapkan keimanan serta jati diri umat Islam dalam berdepan dengan pelbagai cabaran dan kemajuan.
Gesaan terhadap umat Islam untuk sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki keadaan serta menurap sikap sensitiviti terhadap masyarakat tersangat perlu dari semasa ke semasa, bahkan ianya wajib dilaksanakan. Dalam usaha memperbaiki mutu kehidupan secara berterusan mestilah membawa erti menghayati pengertian Hijrah, ianya perlu bertepatan dengan tujuan konsep Hijrah Rasulullah s.a.w dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Seseorang dai’e hendaklah bersedia dan sanggup menempuh jalan berliku penuh dengan risiko untuk meraih kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat. Antara aspek penting dalam proses Hijrah berterusan ini ialah :
1. HIJRAH IMAN Usaha untuk mempertingkatkan iman mestilah melalui peringkat pembersihan hati dan jiwa dari sifat mazmumah yang tercela lagi keji kepada melazimkan dengan sifat mahmudah yang terpuji lagi disukai ramai. Dengan cara ini hati akan dipancari cahaya yang akan melihat kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Selain dari itu proses peningkatan iman juga perlu melalui banyak berfikir mengenai kejadian alam semesta, kejadian makhluk ciptaan Allah sentiasa mengingati tentang alam akhirat yang kekal abadi. Hati yang kuat bertaut dengan cinta Allah S.W.T akan berasa takut dan gentar kepada Allah s.w.t. Firman Allah Taala dalam surah Isra’ ayat 80 :
Maksudnya : Dan pohonkanlah (Wahai Muhammad, Dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! masukkanlah daku ke Dalam urusan ugamaku Dengan kemasukan Yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya Dengan cara keluar Yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaKu dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan Yang menolongku", Oleh itu, selaku bakal pendakwah agama Allah, jiwa mestilah thabat, bersih, cekal dengan tautan yang kuat dengan Allah s.w.t. Keimanan dan takwa yang jitu akan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t.
2. HIJRAH ILMU Dalam suasana dunia kini penuh dengan konflik, kekacauan, haru biru, cabaran dari sudut ilmu juga merupakan perkara penting yang banyak dibahaskan dan menjadi persaingan yang hebat di kalangan masyarakat, khususnya masyarakat terpelajar dan profesional. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya. Ungkapan ini mempunyai maksud yang dalam. Kejahilan yang menyelingkar kehidupan manusia hari ini sukar untuk diungkap dengan kata-kata lagi, sudah terbukti bahawa kejahilan adalah musuh yang membawa kepada pelbagai natijah buruk dan songsang kepada masyarakat manusia.
Firman Allah Taala dalam surah az-Zumar ayat 9, maksudnya:"Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?"
Firman Allah Taala dalam surah az-Zumar ayat 9, maksudnya:"Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?"
Sesungguhnya ketahuilah, hanya dengan mengamalkan kesyumulan Islam, umat Islam boleh mencapai pelbagai kejayaan dan kemajuan hidup. Konsep Hijrah Ilmu ini jika diamalkan secara terus-menerus mencari dan mempertingkatkan daya pengetahuan ilmu agama sehingga ke tahap yang lebih tinggi di samping tidak mengetepikan kepentingan menguasai thaqafah am dengan meluas terutama dalam politik, ekonomi, sosial dan kepimpinan.
Kelemahan umat Islam hari ini mendepani cabaran semasa kerana lemahnya daya fikir berhubung kait dengan kelemahan menguasai ilmu agama dan thaqafah am. Umat Islam hari ini telah ditindas, ditipu, dan tidak berupaya membentengi diri dari muslihat musuh, malah bukan setakat itu sahaja bahkan lemah juga dalam menilai kepelbagaian budaya positif dan negatif. Jadi, tidak hairanlah betapa ramainya remaja muslim rosak akhlak, berpeleseran, dan mudah terjebak dengan unsur-unsur negatif dalam kehidupan mereka. 3. HIJRAH AMALTerdapat dalam mafhum hadis Nabi s.a.w yang menyatakan : “ Sebaik-baik amal adalah berkekalan biarpun sedikit”. Harus difahami, bahawa ungkapan ini tidaklah dimaksudkan oleh Baginda supaya mengurangkan amalan. Ianya membawa pengertian perbandingan iaitu amalan sedikit tetapi konsisten lebih baik berbanding dengan membuat amalan yang banyak tetapi tidak konsisten, bahkan yang lebih baik adalah membuat banyak amalan berserta konsisten.
Sebagai pendakwah, contoh teladan harus dimulai dengan diri sendiri terlebih dahulu. Rasulullah s.a.w adalah qudwah pertama bagi dai’e dalam memperjuangkan agama Islam, sahabiah dan ummahatul mukminin adalah qudwah kedua kita. Oleh itu persediaan menurut ilmu dan amal ini mestilah seiringan. Oleh kerana itu kita meminta supaya dijauhkan oleh Allah S.W.T seumpama keadaan yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, sekira maksudnya : Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah radiallahuanhuma berkata : “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan datang seorang lelaki pada hari kiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya, kemudian ia berpusing-pusing (di tengah-tengah unggunan api neraka) seperti berpusingnya seekor keldai di tempat penggilingan gandum. Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian itu lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya dan berkata kepadanya : “hai fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu (sewaktu di dunia) engkau suka menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada berbuat kemungkaran?” lalu dia menjawab: “ya benar, dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan, tetapi saya tidak melakukannya, dan saya suka melarang orang lain daripada kemungkaran, tetapi saya sendiri melakukannya”. Hijrahkanlah diri terus-menerus ke arah ketinggian Islam. Seiringkan iman, ilmu dan amal dalam perlakuan kita seharian, kematangan harus dipupuk dengan berfikiran rasional dan terbuka, tetapi tidaklah sehingga terkeluar dari batasan syara’. Semua ini adalah untuk menuju ke arah kesejahteraan dan kemurniaan hidup sebagai umat Islam umat yang terpilih. Genggamlah ungkapan ini “ Di mana bumi dipijak di situ Islam dijunjung”. Jangan lupa duhai muslimah srikandi pejuang Islam, di bahu kita sarat dengan tanggungjawab pengislahan dan pembelaan terhadap Islam, jangan sesekali memilih zon selesa walau beribu rintangan mendepani kita, kita akan kuat jika kita berani, halusilah ia dengan ilmu yang mantap ke arah persediaan yang utuh. Bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal mendatang.
Sumber: Oleh: Rahmah Abdullah
Malaysian Studen Syria -salam perjuangan- .

No comments:

Post a Comment

orangkampung178@yahoo.com